Selasa, 6 Disember 2011

JENIS-JENIS PERAYAAN

KAUM MELAYU 


Hari Raya Aidilfitri

         Pada tanggal 1 Syawal tahun Hijrah, seluruh masyarakat Islam di dunia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Di Malaysia, sambutan hari raya ini disebut juga sebagai Hari Raya Puasa. Hari raya ini setelah menghabiskan kewajipan puasa pada bulan Ramadan.Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini akan ditentukan harinya apabila anak bulan Syawal (rukyah) dapat dilihat pada penghujung bulan Ramadan. Ini mengikut hisab berdasarkan Takwim Tahun Islam. Kebiasaannya, apabila sudah ditentukan 1 Syawal itu, pada malamnya, umat Islam akan beramai-ramai bertakbir hari raya di masjid atau pun surau.
        Pada hari raya Aidilfitri juga, umat Islam akan meyediakan berbagai-bagai jenis juadah tradisional seperti lemang, ketupat, nasi himpit, dodol, dan lain-lain lagi untuk tetamu yang datang berkunjung dan beraya di rumah mereka. Bagi kanak-kanak pula, mereka amat gembira kerana dapat bergaya dengan pakaian yang baru serta mendapat duit raya apabila beraya dengan orang dewasa. Amalan memberi duit raya ini adalah suatu tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Islam di negara kita pada hari raya, iaitu untuk bersedekah dan menggembirakan anak-anak yang masih muda.

Selain itu, pada hari raya juga, umat Islam di Malaysia mengambil kesempatan untuk berkunjung ke pusara ahli keluarga dan saudara mara. Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia lebih bermakna pada hari ini dengan konsep rumah terbuka yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.






Hari Raya Aidiladha

       Hari Raya Aidiladha atau juga disebut Hari Raya Korban dan Hari Raya Haji merupakan perayaan agama yang disambut oleh seluruh umat Islam di dunia. Hari raya ini menandakan berakhirnya tempoh mengerjakan ibadat haji di Mekah, iaitu sehari selepas jemaah haji mengerjakan wukuf di Arafah.  Orang-orang Islam menyambut Aidiladha pada tanggal 10 Zulhijjah pada setiap tahun. Malah, bulan ini merupakan bulan terakhir dalam kalendar Hijrah Islam. Perkataan 'Aidiladha' berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud 'hari penyembelihan korban'. Ini sempena memperingati kisah Nabi Ibrahim A.S yang diperintahkan oleh Allah S.W.T agar menyembelih anaknya, iaitu Nabi Ismail A.S.  
        Walaupun dengan hati yang amat berat, Nabi Ibrahim terus taat dengan suruhan Allah untuk menyembelih anaknya. Walau bagaimanapun, Allah telah menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas.  Sehubungan dengan itu, sebagai mengingati perintah Allah kepada Nabi Ismail ini, masyarakat Islam yang berkemampuan digalakkan menyembelih binatang seperti kambing atau lembu sebagai korban pada hari raya ini. Daging sembelihan ini akan dibahagikan, terutamanya kepada fakir miskin. 

        Sambutan Hari Raya Aidiladha di Malaysia, biasanya dimulakan dengan bacaan takbir dan tahmid secara berjemaah di masjid. Selepas itu, disusuli pula dengan sembahyang sunat Aidiladha pada waktu pagi. Kemudian bacaan khutbah akan diperdengarkan yang berkisarkan tentang pengorbanan dan perjuangan Nabi Ibrahim. 
      Selepas habis mendengar khutbah, umat Islam akan mengambil kesempatan berkunjung ke rumah saudara mara dan sahabat handai untuk mengeratkan silaturahim sambil menjamu selera dengan juadah istimewa. Acara penyembelihan korban pula akan diadakan selepas itu dan tiga hari berikutnya, iaitu pada 11, 12, dan 13 hari Tasyrik. Seluruh masyarakat akan bersama-sama membuat kerja-kerja penyembelihan tersebut. 




KAUM CINA 


Tahun Baru Cina 

      Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. (Lihat Tarikh perayaan di bawah.)  Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.
   Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.





Hari Chap Goh Mei

      Lima belas hari selepas Tahun Baru Cina merupakan hari Chap Goh Mei disambut sebagai menandakan berakhirnya perayaan Tahun Baru Cina.Pesta Chap Goh Mei disambut dengan mengadakan upucara sembahyang secara besar-besaran, di mana colok besar akan dibakar dan juga diadakan makan besar bersama keluarga. Bunga api dibakar dan tanglung dinyalakan bagi meraikan Chap Goh Mei.Chap Goh Mei juga dianggap sebagai malam mencari pasangan di mana para gadis akan berpakaian serba indah dan mengunjungi kuil untuk berdoa agar mendapat pasangan yang secucuk.Terdapat juga amalan melontar buah limau ke dalam laut atau sungai dengan doa untuk mendapat pasangan. Buah limau yang basah membawa pesanan agar mereka mendapat pasangan yang sesuai.Persembahan kebudayaan Cina akan diadakan pada waktu malam bagi menandakan perayaan Chap Goh Mei seperti perarakan tanglung, tarian naga atau singa, dan mengimbang bendera besar "Chingay".




Hari Kuih Bulan

      Perayaan Kuih Bulan merupakan perayaan menyambut kemenangan orang Cina menumpaskan penjajah Mongol pada akhir Dinasti Yuan (120 Sebelum Masihi - 1341 Masihi).Perayaan Kuih Bulan disambut pada hari kelimabelas pada bulan kelapan pada kalender Cina iaitu pada akhir bulan Ogos atau awal bulan September. Perayaan Kuih Bulan disambut dengan perarakan tanglung pada malam perayaan.Salah satu hidangan istimewa pada perayaan Kuih Bulan merupakan Kuih Bulan itu sendiri. Kuih Bulan itu diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah, atau adunan biji teratai, atau kuning telur masin. Menurut tradisi, pesanan untuk memberontak telah disebarkan melalui surat yang diletakkan di dalam Kuih Bulan yang akhirnya berjaya menjatuhkan Dinasti Mongol.Terdapat juga tradisi yang menyatakan Kuih Bulan dibuat sebagai persembahan kepada Dewa Dapur. Dewa Dapur yang makan Kuih Bulan tidak dapat menyampaikan lapuran buruk kepada Maharaja Syurga disebabkan mulutnya terkunci oleh Kuih Bulan yang manis itu.




KAUM INDIA 

Hari Deepavali

      Hari Deepavali merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia.Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalender Tamil (antara bulan Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai pesta cahaya.
     Menurut lagenda, Raja Naragasuri yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Maha Krishnan. Sebelum mati, Raja Naragasuri meminta semua manusia agar mereka merayai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada yang mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia.Pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali.Pada pagi Deepavali, penganut Hindu akan menjalani mandi minyak yang melambangkan penyucian badan dan semangat. Selepas upacara penyucian yang melambangkan permulaan yang baru, penganut Hindu akan mengunjungi kuil dimana patung dewa Hindu akan dikalungkan dengan kalungan bunga.Pada pintu masuk rumah penganut Hindu hiasan "kolam", hiasan bungaan halus yang dilakarkan di atas tanah yang biasanya diperbuat daripaja bijiran pelbagai warna akan diletakkan. Hiasan "kolam" ini merupakan lambang penyembahan dewa Lakshimi, Dewa Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan "kolam" di pintu masuk rumah mereka.
"Kolam" merupakaan upacara keagamaan bagi penganut Hindu dan orang Islam adalah dilarang mengikutnya.



Hari Thaipusam

       Hari Thaipusam merupakan satu perayaan yang disambut oleh masyarakat beragama Hindu di seluruh dunia. Perayaan ini bagi menghormati dewa Hindu, iaitu Lord Murugan. Perayaan ini disambut pada bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil yang dikenali juga sebagai bulan 'Thai'. Bagi penganut yang beragama Hindu, Thaipusam adalah hari untuk menghapuskan dosa-dosa dan bertaubat sepenuhnya akan kesalahan yang lepas.

      Sebelum menyambut Thaipusam, penganut agama Hindu akan berpuasa selama sebulan untuk tujuan membersihkan jiwa. Dalam tempoh sebulan ini, mereka berpuasa dengan makan sayur sehari sekali dan sentiasa mengunjungi kuil. Dua puluh empat jam sebelum menyambut Thaipusam pula, mereka akan berpuasa sepenuhnya.Masyarakat yang beragama Hindu di Malaysia, biasanya akan menyambut perayaan Thaipusam ini di Batu Caves, iaitu sebuah tempat suci bagi masyarakat Hindu di sini.Pada hari Thaipusam, penganut agama Hindu akan membawa patung Dewa Subramaniam, iaitu anak bongsu Dewa Siva, di atas pedati perak dan diarak dengan muzik tradisi. Selain itu, antara ciri utama perayaan Thaipusam ini, penganut agama Hindu juga akan membawa 'kavadi', iaitu sebuah kerangka besi yang dihiasi dengan bunga, kertas berwarna-warni, dan buah-buahan segar yang dijunjung di atas bahu. Ini adalah sebagai tanda membayar nazar atau bertaubat kepada Dewa Subramaniam.Bagi sesetengah penganut agama Hindu juga, mereka akan mencucuk logam atau besi yang menembusi kulit tubuh, lidah, pipi, dan anggota badan yang lain bagi tujuan membersihkan dosa dan menyucikan diri. Mereka akan berkumpul beramai-ramai sambil membawa 'kavadi'. Biasanya, pembawa 'kavadi' ini berada dalam keadaan terpukau sambil mengikut rentak lagu yang dimainkan.Di Malaysia, pembawa 'kavadi' ini akan berarak dan menaiki 272 anak tangga di Batu Caves sehingga sampai di pintu gua dan meletakkan kavadi dihadapan patung dewa. Selain itu, penganut agama Hindu juga akan membawa kelapa, madu, dan susu untuk dipersembahkan kepada dewa-dewa bagi mendapatkan restu.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan