Isnin, 5 Disember 2011

Kaum-Kaum Di Malaysia

Pengenalan
     Malaysia merupakan salah satu negara berbilang kaum yang dapat hidup dengan harmoni. Antara tiga kaum utama di Malaysia Cina, Melayu dan India telah menetap di tanah ini selama 5 abad. Selain itu, Malaysia juga merupakan tanah air sebanyak kira kira 80 kaum etnik, terutamanya di Malaysia Timur. Antaranya termasuklah Baba dan Nyonya, Kadazan dusun dan Iban.

Kaum Melayu

Melayu (ملايو) merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu (بهاس ملايو) dan mengamalkan adat resam orang Melayu. Perkataan Melayu mungkin berasal daripada nama sebuah anak sungai yang bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari, Sumatera. Di sana letaknya "Kerajaan Melayu" sekitar 1500 tahun dahulu sebelum atau semasa adanya Kerajaan Srivijaya.  Sehubungan itu, dari segi etimologi, perkataan "Melayu" itu dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit "Malaya" yang bermaksud "bukit" ataupun tanah tinggi. Ada juga sumber sejarah yang mengatakan bahawa perkataan "Melayu" berasal dari "Sungai Melayu" di Jambi.

Etimologi

  Istilah “Melayu” ditakrifkan oleh UNESCO pada tahun 1972 sebagai suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, dan Madagaskar. Bagaimanapun menurut Perlembagaan Malaysia, istilah “Melayu” hanya merujuk kepada seseorang yang berketurunan Melayu yang menganut agama Islam. Dengan kata yang lain, bukan semua orang yang berketurunan daripada nenek moyang Melayu adalah orang Melayu.

   Istilah “Melayu” untuk merujuk kepada nama bangsa atau bahasa adalah suatu perkembangan yang agak baru dari segi sejarah, iaitu setelah adanya Kesultanan Melayu Melaka.  Sebelum ini, istilah “Melayu” hanya merujuk kepada keturunan Raja Melayu dari Sumatera sahaja.


Kaum Cina


Orang Cina Malaysia ialah orang Cina luar negara yang menjadi warganegara atau penduduk tetap di Malaysia. Kebanyakan mereka ialah keturunan pendatang dari China yang tiba di Malaysia sekitar abad ke-15 hingga pertengahan abad ke-20. Di Malaysia, lazimnya kaum ini dirujuk sebagai "orang Cina" dalam semua bahasa. Istilah Orang Cina Malaysia agak jarang dipakai di negara ini.

Kaum Cina di Malaysia mengekalkan identiti komuniti yang amat ketara bezanya dengan kaum lain serta jarang berkahwin campur dengan orang Melayu atas sebab agama dan budaya. Ini adalah kerana kebanyakan orang Melayu beragama Islam. Di bawah undang-undang Malaysia, perkahwinan sedemikian memerlukan pihak bukan beragama Islam untuk memeluk agama pasangannya. Kebanyakan orang Cina Malaysia menganggap "kecinaan" mereka sebagai satu identiti etnik, budaya dan politik.


Kaum India

Orang India Malaysia ialah satu kaum di Malaysia yang berketurunan daripada mereka yang berhijrah dari India Selatan semasa pemerintahan British di Tanah Melayu.  Orang-orang India telah berhijrah ke Malaysia sejak 2,000 tahun yang lalu.  Kumpulan-kumpulan seperti komuniti Chitty Melaka dan komuniti Mamak merupakan keturunan penghijrah semasa Kesultanan Melaka dan kemudiannya semasa pendudukan Melaka oleh orang Portugal dan Belanda. Perolehan Negeri-negeri Selat — Pulau Pinang, Melaka dan Singapura — oleh pihak British antara tahun 1786 hingga 1824 memulakan satu aliran masuk tidak putus-putus yang terdiri daripada buruh, pedagang, supai, dan banduan yang melibatkan diri dalam bidangpembinaan, pertanian dagangan, pertahanan, dan perdagangan. Bagaimanapun, penghijrahan orang India secara beramai-ramai dari subbenua India ke Tanah Melayu menyusul:

- Peluasan pemerintahan British ke negeri-negeri Melayu yang terletak di pantai barat sejak dekad  
  1870-an; dan
- Pertumbuhan ekonomi perladangan getah yang kemudian

Penduduk India di Tanah Melayu dan Singapura sebelum kemerdekaan terdiri terutamanya daripada orang dewasa lelaki yang meninggalkan keluarga mereka di India and Sri Lanka. Oleh itu, dengan kedatangan dan kepulangan mereka, bilangan penduduk India naik turun dengan kerap. Pada tahun 1901, bilangan penduduk India di Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ialah lebih kurang 120,000. 
      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan